Wednesday, 13 January 2016

MASALAH UMUM DALAM PENULISAN KERJA KURSUS PENGAJIAN AM DAN CARA MENGATASI

Ruangan kali ini, saya ingin membantu para pelajar pra u untuk menyelesaikan beberapa persoalan dan masalah yang biasa dihadapi dalam menghasilkan kerja kursus pengajian am.

Sebahagian masalah dan persoalan mungkin boleh diselesaikan dengan merujuk kepada Manual Pelaksanaan Kerja Kursus yang boleh anda download dalam Portal Rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia. (Google kemudian taip MPM kemudian klik Portal Rasmi kemudian klik Bahan Kerja Kursus kemudian klik Pengajian am dan anda akan dapat paparan Manual pelaksanaan kerja kursus dan contoh kerja kursus kemudian klik manual dan contoh tersebut kemudian klik SAVE di atas sebelah kanan yang ada simbol segi empat tu...)


Abstrak

Bagaimana menulis abstrak. lihat contoh kerja kursus. Pastikan setiap item yang diperlukan dalam abstrak ada dinyatakan. gunakan perkataan yang jelas menunjukkan bahawa anda telah menyatakan perkara tersebut. contohnya, menulis kesimpulan. mulakan dengan ayat kesimpulannya.....bla..bla... untuk memudahkan pemeriksa. Abstrak tidak boleh lebih 150 patah perkataan.

Senarai kandungan

Tiada markah diperuntukkan tetapi wajib ada. nyatakan muka surat dengan betul.

Penghargaan

Tiada peruntukan markah tetapi wajib ada. buat dalam 1 muka surat sahaja.

Pengenalan

Hurai latar belakang tajuk, definisikan beberapa konsep dan istilah tajuk dan jelaskan rasional pemilihan tajuk. Rasional pemilihan hendaklah diperjelaskan dan jangan menjadikan objektif sebagai rasional. Rasional dan Objektif adalah dua perkara yang berbeza dan hendaklah difahami dengan jelas oleh calon. Rasional ialah kenapa anda memilih tajuk, lokasi tersebut dan sebagainya. nyatakan hujah yang bernas.

Objektif kajian

Objektif yang dicadangkan sekurang-kurangnya ada 2 dan maksimum 3 objektif. Penulisan objektif mestilah sesuai dengan tajuk, boleh diukur dan dicapai serta memiliki kepentingan dalam kajian. Objektif bermaksud apa yang anda ingin kaji dan capai dalam kajian itu. Tulis objektif mengikut peringkat-peringkat dari aras rendah ke aras tinggi. Setiap objektif mesti dinyatakan lokasi kajian dengan jelas.

contoh: 1. mengenalpasti
             2. mengkaji
             3. membandingkan

Kaedah Kajian/Metodologi kajian

Bahagian ini perlu diberi perhatian kerana banyak kesilapan yang dilakukan oleh calon. Calon disarankan menggunakan sekurang-kurangnya 3 kaedah.  Setiap kaedah mesti dijelaskan dari segi cara mendapatkan responden, sebab pemilihan responden, cara mengumpul data, cara menganalisis data dan cara mempersembahkan data. Perlu diberi perhatian bahawa responden yang dipilih mesti bersesuaian dengan tajuk dan objektif (selari). kaedah kajian mesti dapat menjawab objektif yang ingin anda capai. Disarankan untuk sekurang-kurangnya 30 responden untuk soal selidik dan 3-4 orang informan untuk temubual. Responden mestilah orang yang paling banyak pengetahuan tentang objektif yang anda kaji dan juga mudah diakses atau diperolehi. Memilih responden yang kurang tepat dan tidak sesuai seperti kurang pengetahuan mengenai topik yang dikaji, sukar untuk diperolehi, sukar untuk ditemui kerana terlalu sibuk dan halangan-halangan lain adalah satu kesilapan dan akan menyusahkan proses kajian. sebelum melaksanakan sesuatu kaedah, perancangan perlu dilakukan seperti menyediakan borang dan merancang soalan-soalan yang bakal ditanya terlebih dahulu supaya fokus kajian tidak lari. Jika anda guna kaedah pemerhatian, sila rancang aspek yang ingin diperhatikan, catat apa yang anda perhatikan, ambil gambar sebagai bukti dan lampirkan. kaedah temubual boleh menyatakan nama orang yang ditemubual dalam kaedah tetapi tidak boleh dalam dapatan (ganti dengan informan 1,2, 3, 4) dan sila rakam perbualan dan masukkan dalam CD. Borang soal selidik mesti menggunakan skala likert yang angka ganjil. contoh 3, 5, 7 (rujuk contoh atau guru). tidak digalak menggunakan skala "tidak pasti".

Lokasi Kajian

Lokasi mestilah sekurang-kurangnya mempunyai peta umum seperti peta negeri, daerah dan juga peta khusus iaitu peta atau pelan lokasi kajian. sertakan foto-foto/gambar yang membantu memahami lokasi yang dikaji. calon juga dinasihatkan memberi penerangan ringkas mengenai latar belakang tempat/lokasi. Calon boleh mencetak dan menggunakan google map sebagai paparan untuk peta dan pastikan calon menunjukkan tanda untuk menunjukkan kedudukan lokasi kajian.

Dapatan Kajian

Dapatan ialah proses anda menganalisis data mentah dan dipersembahkan dalam bentuk jadual atau carta. Calon perlu menganalisis dan menjelaskan paparan jadual atau carta yang dipersembahkan. serta membuat kesimpulan dalam setiap dapatan tersebut. Disarankan untuk membentuk sub topik bagi tiap-tiap objektif dalam dapatan. Calon juga perlu meletakkan label bagi tiap-tiap rajah, jadual atau carta. contonya... rajah 1: rajah2, jadual 1, carta pai 1 dan sebagainya mengikut urutan. nyatakan tajuk bagi tiap-tiap media tersebut dan nyatakan sumber di bawah media tersebut. 

Dari segi penjelasan atau huraian, mestilah jelas, tersusun, berkesinambungan dan mencapai objektif.
elakkan kesalahan tanda baca, label dan maklumat tidak lengkap atau salah dan sebagainya. Pastikan dialog perbualan temubual dinyatakan untuk kaedah temubual dan jangan nyatakan nama infomen. Gunakan informan 1, informan 2, informan 3 untuk menggantikan nama individu tersebut. Nama orang yang ditemubual hanya boleh dinyatakan dalam kaedah kajian.

Rumusan

Calon perlu membuat rumusan ringkas dari A to Z mengenai dapatan kajian. Calon perlu memasukkan kajian-kajian lepas (literature review) yang berkaitan bagi menyokong kajian.

Kesimpulan

Calon perlu membuat pandangan, saranan, harapan, cadangan-cadangan lain dan seumpamanya berkaitan kajian tersebut.

Rujukan/Bibliografi

Calon perlu menyatakan sumber rujukan mengikut bilangan yang diperlukan dan pastikan format penulisan rujukan betul. Sila rujuk Manual Pelaksanaan. Bagi rujukan internet, hanya bahan internet yang diiktiraf dan berautoriti saja yang diterima. Jangan jadikan hasil penulisan blog individu yang tidak diiktiraf sebagai rujukan.

Lampiran

Lampirkan bersama sample borang soal selidik, skrip borang temubual berserta jawapan dari informan, gambar-gambar yang berkaitan.


Lain-lain perkara yang perlu dilakukan oleh calon:
1. Hasil kajian sekurang-kurangnya di Stapler dan dijilidlkan(letak selotep) atau bainding jika berkemampuan. 
2. Borang soal selidik yang telah dikutip dari responden dan CD rakaman temubual dimasukkan dalam satu sampul folio.
3. Bina dan pindahkan maklumat dalam power point untuk tujuan pembentangan. sila bersedia dan berlatih sebelum pembentangan dari segi isi kandungan, kreativiti, penampilan, bahasa badan, intonasi dalam persembahan pembentangan supaya markah tinggi diperolehi.
4. Unsur peniruan/plagiat adalah dilarang dan merupakan satu kesalahan tatatertib dan akan dikenakan tindakan oleh MPM.

Semoga dapat membantu. 

No comments:

Post a Comment